Monday 30 April 2012

LATIHAN BAHAGIAN C NILAI-NILAI MURNI UPSR

Tulis lima nilai murni atau pengajaran yang kamu peroleh daripada puisi di bawah. Panjang jawapan kamu hendaklah tidak lebih daripada 50 patah perkataan. Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.

  Buah delima pelbagai rasa,
         Dipetik sebelum waktu senja;
  Dari kecil hinggalah dewasa,
         Ibu bapa membelai penuh manja.
 
  Dalam sungai dipasang bubu,
         Masuk seekor anak kelisa;
  Sungguh mulia jasamu ibu,
         Sepanjang hayat dikenang sentiasa.
 
  Limau kasturi jangan dilupa,
         Beli juga sebungkus asam jawa;
  Tidakku lupa padamu bapa,
         Sanggup berkorban harta dan nyawa.
 
  Kacang dicampur santan kelapa,
         Nasi berulam pucuk pegaga;
  Terima kasih ibu dan bapa,
         Bersyukur kita hidup bahagia.

  -  Membelai penuh manja (Kasih sayang)
  -  Sungguh mulia jasa / dikenang sentiasa (Mengenang jasa)
  -  Berkorban harta dan nyawa (Bertanggungjawab)
  -  Terima kasih ibu dan bapa (Menghargai)
  -  Bersyukur kita hidup bahagia (Kesyukuran)
  -  Pengajaran/kesimpulan daripada teks (Hormat-menghormati)

Contoh Jawapan
 Berdasarkan puisi, terdapat beberapa nilai murni dan pengajaran yang boleh diamalkan. Antaranya, kita mestilah menyayangi kedua-dua ibu bapa kerana mereka telah membesarkan kita dengan penuh kasih sayang. Selain itu, kita hendaklah mengenang jasa mereka dengan memberikan pencapaian yang cemerlang kepada kedua ibu bapa kita. Seterusnya, kita haruslah menghargai seseorang dengan mengucapkan terima kasih. Di samping itu, kita patutlah bersyukur kepada Allah kerana diberi kebahagian hidup. Akhir sekali, kita sewajarnya hormat-menghormati antara satu sama lain supaya dapat mengeratkan hubungan silaturahim.

No comments:

Post a Comment